Refleksi guru yang sedang berlatih

Posted by adzlyna86 On 26 June 2011 Comments
Memakai nametag hitam putih ini pada 8 tahun lalu mungkin tidak ada dalam niat atau diletakkan dalam senarai cita-cita. Tapi, percaturan Allah adalah yang terbaik. Allah mengurniakan ruang dan peluang untuk saya menyemat kemas nametag ini di tudung pada hari ini. Alhamdulillah. 

Mungkin falsafah tersirat di sebalik pemilihan warna hitam putih nametag seorang guru adalah kerana seorang guru lah yang menunjukkan kepada anak didik, hitam dan putih di dalam kehidupan - baik buruk yang ada dalam dunia ini. Mungkin.

Dua minggu awal yang menguji
Ya, kelihatan 2 minggu yang awal ini seolah kehilangan rentak. Jika dulu, saya paling tidak menyukai guru yang hanya memuntahkan maklumat kepada anak didik, oh tidak, rupa-rupanya kini saya pernah berbuat sedemikian. Ketuk dulang paku serpih, kata orang saya yang lebih. Mungkin dek kerana masih terkial-kial menyusun pengajaran mengikut RP, mengagak masa yang perlu dikejar, menyesuaikan pendekatan pengajaran dengan tabiat pelajar. Hasilnya, saya mencipta rekod terawal kerana sekali dua pernah memuntahkan segala maklumat di dalam buku teks kepada pelajar di dalam kelas. Banyak kali, menyedari satu perkara. "apa agaknya yang diperolehi oleh anak didikku di kelas hari ini?". Rasa menyesal di hati yang paling dalam jika hari itu tidak mampu memberi sesuatu yang lebih dan bukan setakat memuntahkan apa yang ada di dalam buku teks.

Begini wajah medan pendidikan yang kita ada
Pola tabiat dan tingkahlaku di sekolah kini, mungkin hampir sama. Hampir semua sekolah, kelas yang paling di geruni dan kecut perut untuk dimasuki hatta untuk 'relief' (ganti guru) adalah 4 J..4 H..4 I..yang abjadnya semakin ke akhir. Tabiat pelajar dinilai berkadar langsung dengan abjad kelas yang mereka duduki. Kesannya, budaya label melabel anak didik juga menjadi semakin sebati. Alhamdulillah, di sekolah kami. Para cikgunya cukup positif. Jarang mendengar mereka melabel kelas dengan gelaran tidak baik. Paling kurang.. "oo kelas tu, takpa dorang tu kurang pandai sikit je..". Paling teruk setakat ini label yang diberi, kelas macam 'zoo'.

Kesan terbesar label melabel ini kerana ianya mempengaruhi persepsi guru secara konsisten. Mengubah niat dan mindset seorang guru terhadap anak didik. Bayangkan apabila pengalaman seorang sahabat yang mendengar sendiri guru yang melabel 6 orang pelajar yang nakal sebagai ENAM JAHANAM. Bayangkan, bagaimana nasib mereka berenam ini apabila label ini melekat sebagai doa kepada mereka. 

Sangat mengiyakan apa yang pernah dikongsi seorang sahabat lain yang terlebih dahulu merasai pahit getir dunia mendidik. Katanya "apa yang paling susah dalam kerja sebagai seorang guru adalah menjaga hati daripada terguris dek karenah anak didik kita, kita tahu apa kesan dengan anak murid jika hati seorang guru terguris". 

Merdekakan MINDA dan JIWA mereka

Saya cukup risau, apabila masuk ke kelas dan merasai jiwa dan fikiran para pelajar tidak berada di dalam kelas. Mereka seolah-olah datang ke sekolah bukan dalam mood menuntut ilmu. Krisis terbesar adalah medan sekolah kini, sama ada guru mahupun pelajar ialah semakin kehilangan adab terhadap ilmu. 

Sehingga kini masih berfikir mencari jalan, untuk membantu anak didik dalam kelas 4 Amanah,4 Budiman 1 & 2 mengenali diri mereka sebaiknya dan tahu tujuan hidup yang sebenar. Mengejar masa 4 minggu berbaki untuk mendekati hati mereka dan berusaha memberi yang terbaik untuk mereka. Minda dan jiwa mereka sudah lama terkongkong dengan sistem pendidikan yang mengajar mereka cintakan peperiksaan dan keputusan peperiksaan bukan mencintai ilmu yang diperolehi. Sistem pendidikan yang mengehadkan daya fikir dan bakat mereka. Mahu membawa mereka sudut pandang yang berbeza dalam hidup. Dan usaha ini sememangnya bukan mudah.

Akhir kalam kali ini, saya amat yakin bahawa dalam hidup ini tiada istilah KEBETULAN. Allah sememangnya mengatur untuk saya untuk duduk mendidik dan mengaut pengalaman berhadapan dengan manusia, membentuk manusia. Apa pun hasil yang akan diperolehi 4 minggu akan datang, InsyaAllah saya terima dengan redha. Apa yang penting, saya mahu berbuat yang terbaik di titik mana saya berdiri kini. Seorang guru, murobbi dan muallim. Sekian, mohon doanya untuk terus diberi kekuatan. Amin.



Tinta Saya,
READ MORE

BERFIKIR SEPADAN DENGAN ZAMAN

Posted by adzlyna86 On 25 May 2011 Comments


Situasi 1 : "Saya suka berfikir dari kecik,kenapa benda ni tak boleh. Kalau tanya ustaz masa sekolah,eh jangan byk tanya haram..-Sham Kamikaze"

Situasi 2 : (di dalam kelas 3 Cekal)
Anak murid : "ustzh2..kenapa main alat muzik bertali haram?"
"Betul ke pelacur yang beri minum air dlm kasut kpd anjing akn masuk syurga?"

Apabila menjejakkan kaki kembali ke sekolah, beberapa hipotesis awal ternyata absah. Anak murid sekarang tidak serupa di zaman kita menjadi anak murid. Ada pro dan kontranya. Tidak mahu membahas kontranya kali ini, mahu mengambil sisi yang positif.

CARA BERFIKIR MEREKA JAUH BERBEZA
Menerima hakikat pemikiran manusia juga turut mengalami proses sosialiasinya tersendiri. Justeru, tidak hairan jika kita melihat pola kehidupan masyarakat di luar, maka kita melihat perkara yang sama dalam pola tindak tanduk pelajar di dalam kelas.

Zaman semakin berkembang, globalisasi sudah lama lumat dalam segenap aspek kehidupan. Pemikiran manusia juga semakin berkembang. Dunia tanpa batasan, maklumat di hujung jari, wireless di mana-mana, Facebook semua orang ada. 

Apabila masuk ke dalam kelas, memulakan komunikasi dengan murid. Ya, cara berfikir mereka jauh berbeza. Lambakan maklumat menjadikan generasi muda di sekolah serba tahu. Guru bukan menjadi sumber primer, turun pangkat menjadi sumber sekunder. Haji Google dan Dr.Facebook mengambil tempat pertama menjadi sumber maklumat mereka.

mereka betul-betul berfikir luar kotak
Muncul lah pertanyaan-pertanyaan yang memerlukan guru lebih menggunakan neuron otak untuk berfikir dan soalan murid-murid bukan calang-calang. Jawapan yang perlu dicari dan diberi kepada murid juga bukan alang-alang. Perlu logik dan di terima akal.

Bukan sekadar mengatakan, "Haram" "Tak boleh". Jika masih begini tahap jawapan guru, bersedia lah menerima pertanyaan susulan, "yelah ustazah, saya tahu haram. Tapi kenapa pula HARAM?".

TIDAK RELEVEN JIKA TIDAK MENDEPANI REALITI ZAMAN
 Ya, saya yakin. Ini sedikit sebanyak gambaran generasi yang kita hadapi. Zaman sekarang bukan zaman main suap ilmu saja. Bukan zaman angguk-angguk geleng-geleng. Bukan zaman tadah ilmu semata. Bukan zaman Wala' membuta. Betapa pentingnya sebuah SOALAN dan JAWAPAN.

Apabila di bawa persoalan ini dalam konteks gerakan Islam. Persoalan menangani perbezaan pendapat dan menerima pemikiran-pemikiran yang mendepani zaman teramat perlu diberi perhatian. Jika di ruang sekecil sekolah pun dirasakan bentuk pemikiran generasi muda sudah jauh berbeza berbanding dulu, apatah lagi dalam kerangka organisasi. Organisasi yang berkesan adalah yang cepat beradaptasi dengan perubahan sekeliling.
Dalam satu segi, bukan mudah untuk kita membaca, memahami, mengatur apa yang dirasakan sesuai dan diterima oleh pemikiran masyarakat. Kerana salah satu kaedah menyatakan ;
 "Memahami waqie lebih susah daripada memahami manusia"
Namun, ianya menjadi cabaran. Bukan alasan untuk tidak melakukan apa-apa untuk berubah. Bertindaklah  mendepani zaman. Galakkan inkuiri, tabahlah melayani persoalan, berusaha mencari jawapan atas segala persoalan. Kerana kita yakin bahawa sebaik-baik aset kepada manusia adalah AKAL. Guna sebaiknya dengan berfikir yang terbaik untuk Agama Islam.

p/s : alhamdulillah buat sham kamikaze, sungguh HIDAYAH itu berada amat dekat dengan urat nadi kita, semuanya dgn izin ALLAH.


Tinta Saya,
READ MORE

Teman Baikku : B U K U (1)

Posted by adzlyna86 On 17 May 2011 Comments
Saya yakin bahawa sikap, sudut pandangan hidup, pegangan hidup seseorang adalah bergantung kepada nilai-nilai yang dikutip dan dikumpul sepanjang hidup. Bermula dari hanya mengenal ABC dan Alif Ba Ta, sehingga saat yang kita lalui kini.

Nilai-nilai ini diperolehi dari pendidikan tidak formal, pendidikan formal, pemerhatian sekeliling, pengaruh budaya dsb. Kali ini, saya tersangat mahu berkongsi beberapa buku yang mengubah serta menambah nilai-nilai yang amat berharga dalam kamus hidup saya.

Tuesday With Morrie

Buku kecil ini dibeli sebagai pilihan terakhir yang ada apabila membeli buku dan baru perasan ; eh duit tak cukup! Buku nipis ini murah sedikit berbanding buku lain. Namun, alhamdulillah pilihan terakhir ini memberi hasil yang sangat disyukuri. Nyatanya isi buku ini ada nilai yang begitu mahal untuk diserap masuk dalam kehidupan seharian.

Bercerita tentang seorang pelajar dan seorang guru tua yang menanti hari kematian kerana sakit kronik berkaitan sendi. Nilai terpenting dalam buku ini, sama seperti yang di tuntut di dalam Islam. Bukan setakat menghargai kehidupan yang ada, bahkan lebih penting mengingati kematian. Petikan kata-kata menarik berkaitan kematian :

"Semua org tahu dia akan mati, tetapi semua org tak percaya, jika percaya kita akan melihat semua perkara dgn cara yg berbeza"

Professor Morrie membawa sudut pandang kita melihat dunia dan kehidupan sebagai sesuatu yang amat perlu dihargai. Erti hidup yang sebenarnya adalah memberi tanpa jemu. Harta, Kekayaan, Material bukanlah segala-galanya. Apa yang terpenting, kita menikmati hidup berkongsi dan memberi kepada orang lain sebaiknya. Ayat paling di ingati.."kamu tidak akan merindui hak orang lain"

"Buatlah kebajikan dgn hati yang murni. Apabila kamu berbuat begitu, kamu tidak akan berpuas hati. Kamu tidak iri hati. Kamu tidak akan 'merindui' hak orang lain. Sebaliknya kamu akan terpegun dgn apa yang datang kepada kamu."
Selesai membaca buku ini, cukup memberi kekuatan untuk terus berusaha memberi apa yang mampu sebaik mungkin. Menyelesaikan sedikit sebanyak persoalan ikhlas dan jujur dalam membuat kebaikan.

Trilogi : Laskar Pelangi, Sang Pemimpi, Edensor

Laskar Pelangi hanya dilihat di filem. Sang Pemimpi di novel dan di filem. Edensor pula lahir kemudian, baru ada versi novel.

Lengkap saja trilogi 3 buah buku ini, membuatkan cita-cita dan mimpi semakin berkobar-kobar. Sehingga 'partner' membaca saya pun dengan semangat mencadangkan "Kak Lina, jom kita p keliling dunia lepas habis latihan mengajar". Wah, menarik !

Beberapa sisi penting dapat diperolehi dalam novel trilogi ini. 

1) Persahabatan : Andrea Hirata berjaya membawa saya menghayati tiga watak utama Arai, Ikal dan Jimbron. Sehingga kini, nama-nama mereka terpahat dalam hati, nilai-nilai persahabatan mereka disimpan dilubuk hati paling dalam. Mahu menjadi dan mempunyai sahabat sehebat mereka. Babak yang paling diingati antara ketiga-tiga buku ini, adalah detik Jimbron menyerahkan tabung kuda kesayangannya kepada Ikal dan Arai.
2) Guru dan Murid : Bu Muslimah, Pak Harfan, Pak Mustar dan Pak Balia. Nama-nama pendidik yang berperanan penting dalam kisah 3 anak muda ini. Berjayanya seorang guru dan pendidik adalah melahirkan anak-anak didik yang lebih hebat dari dirinya dan mampu menyuntik semangat anak didik mencapai impian tidak kira cita-cita yang mereka punyai kecil mahupun besar.

Trilogi ini menyuntik semangat untuk memikirkan perkara dan perancangan yang besar-besar dan berani untuk bermimpi. Walaupun jika dirasakan mimpi itu jauh atau dekat untuk dicapai.
Negeri 5 Menara
2 Prinsip penting yang diperolehi dalam buku setebal 200 lebih muka surat ini : Man Jadda Wajada , belajar dan mengajar mesti IKHLAS.

Menelusuri buku ini dari muka surat ke muka surat menimbulkan keterujaan. Dari bermula hari pendaftaran sekolah dan sehingga hari pengijazahan. Pondok Madani membuatkan saya kagum. Berada dalam dunia utopia sebentar. Begini model pendidikan insan yang kita dambakan sekarang. Begini cara didikan yang perlu diberi kepada pelajar-pelajar. Seni mendidik yang diterapkan sama ada pada akhlak, pendidikan suatu yang praktik untuk dicontohi oleh para pendidik.

Seronok membaca buku ini, sebab ala-ala kehidupan asrama harry potter versi islamik, semangat anak muda dalam buku seperti semangat arai, ikal, jimbron dan terhibur dengan saspen-saspen yang diciptakan dalam beberapa bab.

Penutup :
Saya sangat menghargai ilmu hidup yang bernama pengalaman. Pengalaman menambah sudut pandang kehidupan kita, menambah semangat diri dan melakar jejak yang boleh disusuri untuk menjalani kehidupan. Moga dengan pengalaman diri dan orang lain, kita cepat belajar.



Tinta Saya,


READ MORE

Duduk sebentar.

Posted by adzlyna86 On 26 April 2011 Comments
ini mimpi saya buat membakut :)
 Orang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang
Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti dari kerabat dan kawan
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang...

Aku melihat air menjadi rosak kerana diam tertahan
Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak, akan keruh menggenang
Singa jika tidak tinggalkan sarang tidak akan dapat mangsa
Anak panah jika tidak tinggalkan busur tidak akan kena sasaran
Jika matahari di orbitnya tidak bergerak terus diam
tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang...

7 tahun hampir genap. Perjalanan yang dilalui merantau di negeri-negeri orang. Sekarang, paper akhir menanti untuk dijawab. Namun, seolah-olah hati dan fikiran sudah tidak singgah pada mereka. Menjelang detik 16.5, hati tertarik-tarik untuk tidak sabar mahu menjenguk, apa yang bakal dilalui bermulai tarikh itu. 

HUJAN EMAS DI NEGERI ORANG HUJAN BATU DI NEGERI SENDIRI : mana lebih untung? 

bekalan di jalan dakwah?
Kerapkali, peribahasa ini digunakan untuk mengingatkan mereka-mereka yang menjalani hidup sebagai perantau. Mana lebih untung? Jika ikut hitung kira untung kebiasaan, sudah tentu hujan emas itu jauh lebih mengguntungkan daripada hujan batu. Namun, bagi saya yang perlu difahami. Bukan perbezaan tempat hujan itu turun menjadi kayu ukur, biarlah batu, emas, berlian? yang turun sebagai hujan..yang lebih pentingnya, ada hasilnya : Hujan yang turun. Allah sudah mengajar kita, Allah tidak tengok apa hasil yang ada, Allah akan lihat apa usaha yang kita sudah buat untuk membantu 'hujan' yang turun itu. 

Hati sangat teruja meniti hari-hari terakhir dibumi perantauan, namun jauh lebih besar..hati masih mahu berada di bumi perantauan. Masih belum banyak emas yang mahu dibawa balik. Sungguh, ini yang sedang dirasai kini.

terima kasih ANDREA HIRATA 
Dicelah-celah susunan kerja yang tidak putus-putus, tidak dapat menghentikan kegilaan untuk menghabiskan trilogi Laskar Pelangi, Sang Pemimpi dan Edensor. Satu lagi menunggu selepas habis exam, Maryamah Karpov.

Mengapa? kerana bila masuk ke alam ikal,arai dan jimbron. cukup merasakan hidup ini cukup mudah.

"Beri aku sesuatu yang sulit, dan aku akan belajar."
"Berhenti bercita-cita adalah tragedi terbesar dalam hidup manusia"
"Tuhan tahu tapi menunggu"

Tulisannya cukup sederhana,jujur dan paling penting, menemui banyak falsafah kehidupan melalui naskah karya beliau, sangat menepati apa yang dirasakan perlu di isi di dalam diri. Keyakinan untuk meneruskan langkah selepas ini, menghadapi masa hadapan dan apa jua yang menanti di sana.

DUDUK SEBENTAR.
gantungkan cita-cita setinggi langit
Ya, tengah duduk sebentar. Membetulkan posisi,niat,setting hati. Jalan yang bakal ditempuhi seterusnya bukan mudah. Tidak tahu bila akan bertemu 'batu' yang bakal mengubah haluan jalan. Tidak tahu bila peluang dan ruang yang Allah bagi akan berakhir. Atas segala sebab ini, saya positif dengan jalan yang saya pilih kini. Manfaatkan masa yang berbaki, pusingan hidup yang baru akan bermula, azamnya akan memulakan sesuatu di tanah tumpah darah kelahiran. Lama atau sekejap, sikit atau banyak bukan ukuran. Yang penting saya berusaha.

Memetik kata-kata seorang sahabat...
"Not everyone is meant to make a difference. But for me, the choice to lead an ordinary life is no longer an option"



Tinta Saya,



READ MORE

Bumi itu...masih dirindui (2)

Posted by adzlyna86 On 19 January 2011 Comments
pemakaian sehari-hari mereka
"Yaman ni masih terpelihara.." Ujar Abang Syah, salah seorang pensyarah Malaysia yang kami kenali di sini. Ya, masih terpelihara. Salah satu sebab utama hati terpaut dengan negara kecil ini. Kami merasai hidup di Sana'a, Ibu negara Yaman. Di maklumkan, Sana'a belum pernah di jajah Timur mahupun Barat, justeru kesan budaya Barat mahupun asing hampir tidak kelihatan di sana. Mereka masih berpegang dengan budaya dan adat yang kuat nilai Islam di dalamnya.

penjaga kedai babulyaman
AL QURAN sebati dengan mereka
Menurut ustaz kami, ustaz Adil Sobri menjadi kebiasaan sedari belasan tahun anak-anak dimestikan menghafal Al Quran. Apa tidaknya, kebanyakan pemandu bas Universiti Sains Teknologi (UST) adalah hafiz Quran. Menjadi pemandangan biasa, kadang-kadang melihat pemandu teksi memegang Quran di tangan mereka atau naskhah Quran di sisi mereka di dalam teksi.


READ MORE

Bumi itu...masih dirindui (1)

Posted by adzlyna86 On 18 January 2011 Comments
Sudah lama hasrat dipendam, sebelum ini beberapa kali melepaskan niat bersama sahabat-sahabat yang sebelum ini sudah mendahului pergi bermusafir ke timur tengah. Alhamdulillah di umur yang masih berbaki ini, Allah Maha Merancang perjalanan hambaNya, segala urusan menjelang pemergian Allah mudahkan. Akhirnya, pada tahun terakhir di Universiti Malaya, berpeluang menjejakkan kaki ke sana...bukan ke Mesir, bukan ke Qatar, mahupun ke Dubai. Alhamdulillah buat pertama kalinya rombongan UM di hantar ke Yaman. Dan kami 15 orang sebagai pembuka jalan yang pertama.

PANDANGAN PERTAMA
Tidak tahu apa yang bakal ditempuh sepanjang 25 hari berada di bumi Yaman. Yang tahu Yaman sedang mengalami musim sejuk mencecah 9C dan berdasarkan gambar-gambar yang di google, Yaman kelihatannya klasik. Ajaibnya, walaupun ini kali pertama bermusafir jauh, hati tidak berapa risau, sedikit tenang. Walalupun tidak pasti apa yang menunggu kami di sana.
READ MORE

Hujung minggu terakhir di Malaysia...

Posted by adzlyna86 On 12 December 2010 Comments
Assalamualaikum...

Sekali sekala blog ini di buka, ditutup , dibuka kembali...dek kerana tidak berisi, hidup segan mati tak mahu. Mahu menulis buat kali terakhir pada tahun 2010 di hari-hari terakhir di Malaysia. Pergh. Ayat.. macam mahu pergi jauh dan lama. Jauh memang jauh, Yemen. Lama tidak lama. Cuma sebulan.

Hujung Minggu Terakhir
Hujung minggu terakhir di Malaysia mencatat pengalaman yang cukup berbaloi-baloi buat diri sendiri. Peluang berbengkel 2 hari 1 malam bersama LPN dirasakan menjadi suntikan antibiotik yang cukup kuat kepada diri sebelum berangkat meninggalkan bumi Malaysia selama sebulan.
READ MORE

Sabah boleh berubah : buat rakyat batu SAPI !

Posted by adzlyna86 On 31 October 2010 Comments

Pilihanraya Kecil Batu Sapi merupakan pilihanraya kecil yang pertama diadakan di Sabah pasca PRU 12. Sabah dan Sarawak yang digelar ‘simpanan tetap’ buat kerajaan BN dikira lengkap teruji apabila Sarawak terlebih dahulu melepasi ujian dengan PRK Sibu dan kini Sabah pula diuji dengan PRK Batu Sapi. Kesudahan untuk Sibu telah diketahui ramai apabila rakyat Sibu mengejutkan Malaysia dengan memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat (DAP). Batu Sapi pula kini dinanti, mungkinkah ada perubahan?

READ MORE

Mencari KARTIKA - menjumpai mereka

Posted by adzlyna86 On 21 October 2010 Comments
Saya teruja apabila pertama kali mendengar Sister In Islam menerbitkan sebuah dokumentari "Mencari Kartika". Saya terlepas menonton screening pertamanya awal Julai 2010 dan baru-baru ini sempena Freedom Film Fest 2010, filem ini merupakan salah satu filem pendek yang ditayangkan. Peluang ini tidak dilepaskan, nekad meredah hujan mahu melihat dokumentari ini. Pengalaman yang memang berbaloi kali ini.

READ MORE

Kita sedang dipujuk?

Posted by adzlyna86 On 16 October 2010 Comments
Salah satu teori media massa dalam berfungsi dalam sesebuah negara adalah melalui teori pemujukan massa.  Memujuk rakyat demi mengekalkan status quo sesebuah kerajaan. Ini yang saya rasakan selama ini menjadi pengamalan di negara kita.

Ada APA dengan ANGKA?
READ MORE
Powered by Blogger.

Followers

My Devotion Is My Passion

Nzlaa86 Production's