Bumi itu...masih dirindui (2)

Posted by adzlyna86 On 19 January 2011 Comments
pemakaian sehari-hari mereka
"Yaman ni masih terpelihara.." Ujar Abang Syah, salah seorang pensyarah Malaysia yang kami kenali di sini. Ya, masih terpelihara. Salah satu sebab utama hati terpaut dengan negara kecil ini. Kami merasai hidup di Sana'a, Ibu negara Yaman. Di maklumkan, Sana'a belum pernah di jajah Timur mahupun Barat, justeru kesan budaya Barat mahupun asing hampir tidak kelihatan di sana. Mereka masih berpegang dengan budaya dan adat yang kuat nilai Islam di dalamnya.

penjaga kedai babulyaman
AL QURAN sebati dengan mereka
Menurut ustaz kami, ustaz Adil Sobri menjadi kebiasaan sedari belasan tahun anak-anak dimestikan menghafal Al Quran. Apa tidaknya, kebanyakan pemandu bas Universiti Sains Teknologi (UST) adalah hafiz Quran. Menjadi pemandangan biasa, kadang-kadang melihat pemandu teksi memegang Quran di tangan mereka atau naskhah Quran di sisi mereka di dalam teksi.


                                                    Wanita terjaga dan selamat
pakaian mereka ke kuliah
Mungkin akan dikatakan kuno dan jumud. Tapi bagi saya ianya suatu situasi 1 dalam 1000 yang amat susah dijumpai diakhir zaman ini. Tidak dinafikan ada juga buruknya dalam baik yang kami temui, namun wanita di Yaman masih terjaga dan dihormati. Menjadi budaya dan kebiasaan untuk para wanita memakai burqo dan berjubah hitam. Paling kurang berjubah hitam juga jika tidak berburqo. Pemandangan wanita-wanita mendedahkan aurat sewenang-wenangnya hampir tidak ditemui di sini. Kebanyakan lelaki di Yaman sangat menghormati kaum wanita, di dalam bas mereka tidak akan sesekali duduk sebaris dengan wanita ajnabi. Walaupun seringkali ada rasa risau setiap kali keluar ke mana-mana tanpa burqo mahupun jubah hitam, namun Alhamdulillah mereka cukup menghormati wanita. Kanak-kanak kecil bebas berjalan sendirian ke sekolah setiap pagi tanpa risau adanya ganggguan. Pemandangan ini tidak dijumpai lagi di Malaysia setakat ini.

AKHLAK mereka MEMIKAT hati saya

kami di belakang Yassir
mereka berpegang tangan

Sebab paling utama HATI terpaut dengan Yaman. AKHLAK mereka. Mereka sangat memuliakan tetamu, membantu tanpa diminta, ukhwah sesama mereka utuh... 

Walaupun dikatakan memiliki zaman yang tidak ada bangunan pencakar langit, namun mereka masih memiliki perkara yang paling mahal dari dunia seisinya. 

Insiden yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila, kami bertemu Yassir yang bukan saja menunjukkan kami jalan ke Pasar Ali Mohsein, bahkan dia membayar hampir kesemua barang belian kami sehingga duit ditangannya habis. Sepanjang jalan balik semua cuak dengan kebaikkannya. Bayar ke tidak. Serba salah. Akhirnya kami menghulur duit di hujung pertemuan. Apa terjadi? Riak muka Yassir berubah. Dia menolak keras duit yang kami hulur, dan kata yang sempat di dengar "لا هذا كرام الضيوف". Ya ALLAH, terkesima sepanjang perjalanan balik ke Sakan. Memikirkan kembali, begini rupanya sedikit  keindahan yang dirasai oleh para sahabat di zaman Rasulullah dulu. Alhamdulillah berpeluang merasai walau sedikit, walau sekejap. 

Selain itu, saya tergelak pada mulanya melihat pemandangan ini. Mereka tidak segan berpegang tangan berjalan berdua-duaan. Siapa? bukan awek dan pakwe macam di Malaysia, bukan juga suami isteri. Tapi pakcik-pakcik mahupun abang-abang yang masih muda lagi. Lelaki berpegang tangan berjalan seiring. Entah kenapa, pemandangan ini senang dilihat. Gambaran keutuhan ukhwah  sesama mereka dan  ianya menjadi kebiasaan.

Mereka-mereka ini...Muhammad, Ustaz AbdulRahman, Ustaz Hamzah, Jabiir, Ustaz Adil, Penjual Sayur , Walid (pemandu bas) wajah-wajah mereka terakam dalam hati. Kebaikan mereka tidak akan dilupa sampai bila-bila.

Belajar dengan sepenuh RASA
Ust Adil Sobri
Bagi saya, yang paling mahal sepanjang belajar bahasa Arab adalah apabila sepanjang kelas, Ustaz Adil Sobri bukan sahaja mengajar bahasa Arab, qawaid, nahu semata-mata. Banyak ilmu-ilmu yang lain tentang Islam yang di kongsi. Seringkali ustaz bertanya dan bercerita tentang sirah Nabi dan para sahabat. Entah kenapa perasaan mendengar penceritaan ustaz tentang sirah Nabi sampai menjentik rasa menitiskan air mata. Ya, begini seharusnya yang bernama Mu'allim. Beliau bersungguh mengajar kami berani bercakap Bahasa Arab, dan beliau bersungguh memberi kesedaran berterusan tentang pengalaman Islam yang sebenarnya. Alhamdulillah, buat kali pertama rasanya saya belajar sepenuh RASA di sini. Ini juga yang membuatkan menitiskan air mata dihari-hari terakhir berada di Yaman. Bilakah rasa ini akan dirasai buat kali kedua?


Satu insiden yang tidak dijumpai lagi di Malaysia, adalah apabila Majlis Perpisahan kami dengan universiti dibuat seringkas mungkin, secepat mungkin, hatta qari yang memulakan majlis membaca surah paling ringkas. Surah Al Asr. Canselor UST yang datang pada tengahari itu minta majlis dipendekkan. Bukan sebab ada mesyuarat penting atau hal lain. Sebab utamanya ialah ketika itu telah masuk waktu SOLAT ZUHUR. Tidak sampai setengah jam majlis tersebut berjalan. Seusai majlis habis, bergegas orang-orang tertinggi Universiti yang datang ke majlis itu keluar. Kami pun keluar dari bilik mesyuarat pentadbiran dan masyaAllah rupanya mereka solat beramai-ramai diluar bilik mesyuarat bersama pekerja-pekerja di bangunan pentadbiran UST. Buat sekian kalinya pengalaman ini terakam di hati dan minda...

POLITIK YAMAN bagaimana?

wajah anak-anak yaman
Yaman adalah sebuah republik di mana, presiden Yaman Ali Abdullah Salleh telah menjadi presiden selama bertahun-tahun, sistem warisan di amalkan dalam pemerintahan Yaman. Boleh dikatakan autokratik kerana kuasa hanya dipegang oleh pemimpin tertinggi. Demokrasi juga belum subur di Yaman.  Pilihanraya ditangguhkan 2 tahun sejak tahun 2009. Yaman mundur kerana kerajaan kurang kompetan mengurus sebuah negara. Masalah air,sistem perbandaran, masalah bekalan elektrik, ekonomi, pekerjaan rakyat. Melihat anak-anak kecil meminta sedekah, mengutip botol, membawa penimbang mencari sesuap rezeki mengharukan hati. Yaman sebuah bumi yang subur dengan tanam-tanaman dan sumber alam, namun segala macam hasil alam ini tidak diurus dengan baik dan tidak membantu ekonomi negara. Keadaan ini juga mengajar diri sedikit sebanyak. Ustaz Adil pernah menyatakan "Allah akan membantu negara kafir yang adil berbanding negara islam yang zalim".


KHATIMAH

matahari terakhir di Yaman
Di atas sebab semua ini, hati sangat merindui Bumi Yaman. Mungkin idealistik sangat jika mahukan Malaysia menjadi seperti Yaman dalam bab tingkah laku masyarakat. Agak mustahil untuk tercapai. Apabila berada di negara yang masih ada kesan-kesan seperti zaman Rasululullah hati meronta-ronta untuk lebih lama duduk di sana. Ketenangan dijumpai di sana. Namun, apabila merenung kembali. Itu adalah pilihan  yang dirasakan terbaik. Namun, pilihan yang lebih realistik ada di depan mata kena meneruskan hidup dan tanggung jawab di bumi Malaysia. Bumi ini lebih memerlukan sentuhan untuk menjadikannya lebih baik dan makmur, masih banyak perlu dilakukan, masih banyak perlu difikirkan.

Apapun, Yaman akan tetap tersimpan kemas di dalam hati dibawa sampai mati. Menyimpan hasrat paling dalam ingin ke sana lagi. Jika di izinkan Allah akan bertandang lagi ke sana..setahun..2 tahun..siapa tahu. Allah lebih mengetahui segala-galanya...InsyaAllah.



Tinta Saya,
Powered by Blogger.

Followers

My Devotion Is My Passion

Nzlaa86 Production's