KEKACAUAN jiwa UMAT yang KRITIKAL

Posted by adzlyna86 On 31 March 2010 Comments
Sesuatu hal menghentikan kesungguhan saya menaip assignment yang bertimbun-timbun di kala ini. Bertukar mood ke blogger untuk mengisi blog. Ada sesuatu yang di rasakan perlu diluahkan. Di kala heboh orang membahaskan tentang MEB, APCO -One Israel vs One Malaysia. Sejenis kekacauan yang perlu kita duduk dan amati bersama. Kekacauan AKHLAK dan JIWA masyarakat yang semakin kritikal. Bukti jelas yang kita lihat setiap hari...

Jenayah kelas PERTAMA menjadi kebiasaan ??? 
Anak pegawai polis maut ditikam : sumber

KUALA LUMPUR - Anak pegawai polis maut akibat ditikam di dada dan perut di hadapan sebuah restoran di Jalan Pudu di sini awal hari ini. K. Daniel Danish, 25, yang cedera parah akibat kejadian itu mati sebaik tiba di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Ketua Pemuda Penyokong PAS mati ditembak : sumber
TELUK INTAN 15 Mac - Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak, Panthiyan a/l Patchamuthu mati ditembak di hadapan kedai mencuci kereta miliknya di Langkap petang tadi. Dua das tembakan dengan satu mengenai kepala dan dada mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian jam 3 petang tadi. Difahamkan, suspek menaiki motosikal dengan nombor pendaftaran palsu datang ke kedainya lalu melepaskan tembakan dari jarak dekat. Mangsa yang berusia 34 mengalami kecederaan parah di kepala mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Hilir Perak untuk bedah siasat.

Buang ANAK macam buang SAMPAH ???

Bakar bayi dalam tong sampah 
13 Feb 2010          
KUALA KRAI: Menyayat hati apabila seorang bayi lelaki yang baru lahir bukan saja dibuang ke dalam tong sampah, malah mayatnya dibakar sehingga melecur seluruh tubuh.
Bayi malang itu ditemui tiga sekawan yang juga pekerja kontrak pengangkut sampah Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK), kira-kira jam 10 pagi semalam.

Mayat bayi putus tangan digonggong anjing ditemui 
27/3/2010
PETALING JAYA: Dengan salah satu tangannya putus dipercayai digigit anjing liar, mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan cukup menyayat hati berhampiran sebuah kilang simen di Kampung Melayu Subang, di sini petang semalam. Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui seorang penduduk setempat pada jam 4 petang selepas melihat seekor anjing liar menggonggong objek menyamai tangan manusia di kawasan timbunan sampah di situ.

Mayat janin dalam balang gula-gula
31/3/2010
KUALA LUMPUR : Kelmarin, mayat janin perempuan berusia antara tiga hingga empat bulan yang masih bertali pusat ditemui di hadapan Tokong Foo Yan di Jinjang Utara di sini.

Mayat tersebut ditemui disumbat di dalam balang gula-gula setinggi 0.1 meter oleh seorang pengawal keselamatan, M. Joseph, 33, pada pukul 11.30 malam.


anak halal vs anak haram?
Gejala anak haram di sekolah menengah di Sandakan : sumber

Dalam kejadian terbaru, seorang pelajar sekolah tingkatan lima SMK Merpati Sandakan telah melahirkan anak perempuan luar nikah di Hospital Duchess of Kent, Sandakan petang kelmarin. Mengikut maklumat yang diterima daripada kakitangan Hospital Duchess of Kent, pelajar berkenaan mempunyai skandal dengan beberapa pelajar dan guru sekolah terbabit dan tidak ada pihak yang mahu bertanggung jawab di atas perbuatan mereka sehingga pelajar berkenaan melahirkan anak di hospital tersebut setelah percubaannya menggugurkan anak gagal.


17,303 anak luar nikah didaftar 2009


KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang.  Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam.


Kesalahan KITA : Guna yang LAHIR untuk kawal yang BATIN.
Memetik isi buku Ust. Pahrol Mohd Juoi. "Dilema Melayu-Islam, Kurang Zikir Atau Fikir" :

Kita terlalu bergantung kepada hukuman, ganjaran, peraturan dalam mendidik manusia. Lihat saja berapa banyak akta yang dikuatkuasakan, berapa banyak suruhanjaya khas telah di tubuhkan, berapa lama hukuman penjara yang dijatuhkan. Semuanya ternyata GAGAL mendidik masyarakat. Tahun ke tahun jenayah yang dilakukan semakin 'upgrade', dari kelas ketiga hingga kelas pertama semua telah terjadi di negara kita yang kita cintai ini. Manusia menjadi semakin liar kerana di kawal dari LUAR bukan dari DALAM.

Saya melihat peningkatan kes jenayah dan masalah moral yang semakin mendadak ini sangat perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan semua pihak. Kebimbangan yang besar perlu diletakkan lebih dari kebimbangan masalah ekonomi Malaysia yang tidak stabil dalam menangani isu ini.

Beberapa cadangan mendidik JIWA masyarakat :

Kempen Nilai Perlu di perhebatkan di media perdana
Saya menyakini media massa mampu mengubah budaya dan pemikiran masyarakat. Bagaimana kempen 1 Malaysia yang saban hari dimainkan di televisyen, kempen anti-merokok, kempen keselamatan jalan raya. Kempen menjauhi maksiat saja yang belum ada di kaca televisyen kita. Saya amat terkesan dengan bentuk iklan kempen anti merokok ini. (Link Video) Alangkah baiknya jika kempen sebegini dapat di lakukan untuk kempen jauhi maksiat dan amalkan kehidupan yang bermoral.



Pendidikan Islam perlu diteruskan di IPTA/S
Konsep pendidikan sepanjang hayat tersangat perlu diaplikasikan kini. Melihat rata-rata golongan yang bermasalah juga ramainya dari kalangan mahasiswa/i IPT. Saya merasakan teramat releven untuk terus memberikan pendidikan moral dan sahsiah di menara gading. Selain mahasiswa pengajian Islam, mahasiswa dibidang lain terpaksa berusaha sendiri dan mencari inisiatif lain untuk menambah ilmu agama. Pendidikan Islam yang diperolehi di menara gading ini sedikit sebanyak mampu memastikan mereka masih mendapat panduan dan 'track' yang betul sepanjang pengajian.

Media Massa perlu membantu bukan menambah kerosakan
Saya bersetuju dengan sudut pandang yang dilontarkan oleh ustaz hasrizal (saifulislam). Akhbar-akhbar seharusnya berhenti mensensasikan kisah-kisah mungkar ini. Sesetengah akhbar kadang-kadang melaporkan jenayah seolah-olah seperti memberikan manual tindakan lengkap kepada pembaca akhbar. Dari yang tidak tahu, jadi tahu seterusnya mencetuskan perasaan mahu untuk mencuba. Cukup akhbar berfungsi untuk memberitakan untuk memberi pengajaran dan mencetuskan perasaan takut masyarakat untuk melakukan sesuatu kemungkaran.

Apapun, yang paling diharapkan sekali yang terutama sekali ialah kembali lah menjadikan ISLAM dan segala hukum yang Allah tetapkan sebagai asas kepada penawar kepada semua 'kesakitan' ini. Janji Allah bahawa kefasadan berlaku kerana tangan manusia sendiri telah berlaku, namun sayangnya Allah pada kita segala penyelesaian ada di depan mata. Tinggal membuat pilihan. Ambil semua ataupun kita terus akan berada dalam kebinasaan..


Perumpamaan orang yang tegak dalam hukum Allah s.w.t. dan orang yang tergelincir bagaikan rombongan yang naik kapal maka masing-masing bertempat diatas dan dibawah, maka ketika mereka sedemikian, tiba-tiba orang yang berada dibahagian bawah mengambil kapak lalu ditanya oleh kawan-kawannya: Apakah maksudmu? Jawabnya: Saya akan melubangi tempatku supaya dekat dengan air sehingga mudah bagiku mengambil atau membuang air. Maka sebahagian yang lain berkata: Biarkan ia berbuat sesukanya dibahagiannya, sebahagian yang lain pula berkata: Jangan kamu biarkan dia melubangi bahagian bawah dari kapal ini, nescaya ninasa dan membinasakan kita semua, maka bila mereka dapat menahannya bererti selamat dan selamat semuanya tetapi bila mereka tidak mencegahnya maka binasa dan binasa semuanya." -Al Hadith
Moga kita tidak menjadi orang yang tenggelam, orang yang melubangi kapal mahupun orang yang melihat saja dan hanya tahu bercakap, lebih teruk lagi orang yang tidak peduli apa-apa. Untuk kali ini, ini sahaja yang mampu diluahkan dari seorang pemerhati dan rakyat biasa. Azam saya di saat ini, juga akan berusaha melakukan sesuatu untuk menyumbang kepada pengislahan umat-Mempertingkatkan kemahiran mendidik manusia antara yang utama..doakan.

Sekian lontaran dari orang biasa yang masih belajar...


Tinta Saya,
READ MORE

Berhenti MEREMEHKAN rakyat !

Posted by adzlyna86 On 17 March 2010 Comments
1.KENYATAAN TIDAK MATANG

"Mereka datang bukan untuk protes tetapi untuk berjalan-jalan melawat Putrajaya dan kita juga bagi mereka makan-makan.Yang majoriti ini kumpulan yang jumpa dengan saya tadi. Sebenarnya mereka nak datang, di samping nak menyaksikan penyerahan memorandum ini. Mereka juga datang untuk cuti sekolah hendak ambil gambar di Putrajaya sebab mereka cuma tengok Putrajaya dalam televisyen." -Shafie Afdal


Mengapa kenyataan ini harus dikeluarkan oleh seorang pemimpin di kala rakyat datang mengadu, di katakan pergi bersiar-siar. Terang-terangan meremehkan suara dan kehendak rakyat. Entah sampai bila para pemimpin kita tahu mengatakan Ya, ini kesalahan kami dan kami akan berusaha memperbaikinya. Bila sahaja berlaku masalah, telunjuk jari akan menuding terhadap orang dan tidak ingat bahawa 4 jari kembali pada diri sendiri. 

2.MEREKA MEMANG TERTINDAS
Mencatat pengalaman sendiri yang secara kebetulan dua minggu berturut-turut berjumpa dengan golongan orang asli. Sekali di Janda Baik, Pahang. Sekali di Asrama Darul Falah (ASDAF),  Bangsar - asrama penempatan anak-anak orang asli.

Aktivis Orang asli - Kak Tijah
Women Power tu !
Sempat bercerita dengan isteri Tok Batin di Janda Baik, kampung mereka tidak lah terpencil seperti kampung-kampung yang ada di pedalaman Sabah. Jauh lebih baik keadaannya dengan jalan yang bertar, air paip yang stabil. Tetapi masalah yang berlaku adalah keciciran anak-anak mereka dari sekolah. Anak-anak berhenti sekolah kerana tidak ada kenderaan ke sekolah. Dengan pendapatan yang sepenuhnya bergantung kepada hasil kebun, motor sebuah untuk ke kebun dan tidak menampung keperluan untuk menghantar anak-anak ke sekolah pula. Mereka memang kurang serba-serbi. Ironinya, tiada kemudahan asrama di sediakan, tiada perkhidmatan bas yang disediakan untuk memastikan mereka sampai ke sekolah. Semudah menyediakan sebuah bas sahaja untuk mereka tidak mampu dilakukan pihak berwajib. Kemusykilan saya yang utama, itu baru sebuah kampung yang tidak terpencil sangat duduknya. Bagaimana kampung-kampung yang letaknya diceruk bukit dan nun jauh dipedalaman?

Adik Nurul & Adik Yana
Lain pula ceritanya di ASDAF, bertemu adik-adik yang comel di ASDAF semasa menghabiskan subjek OPKIM baru-baru ini. Memberi sudut pandang lain dalam kehidupan. Berumur semuda 7 tahun telah duduk berdikari di asrama demi mendapatkan pendidikan di bandar. Datangnya dari Cameron, Hulu Perak, Hulu Pahang.  Usaha mulia mengumpulkan mereka di sana adalah untuk memberi peluang pendidikan yang lebih terjamin. Jauhnya dirasakan dari diri sendiri yang dari kecil dijaga oleh mak dan ayah, segala-galanya tersedia di depan mata. Mereka? Walaupun diberi kemudahan tinggal di sana, mereka hakikatnya masih kurang perhatian dan kasih sayang. 

Melihat wajah-wajah ibu ayah mereka yang datang mengambil mereka untuk pulang ke kampung, lagi lah menambahkan ketidakstabilan emosi. Hairan, dalam keadaan dikatakan jurang pembangunan yang tidak seimbang di antara Semenanjung dan Sabah & Sarawak, masih ada jurang yang tidak dipeduli. Golongan minoriti yang ada di semenanjung. Orang Asli.

Apa yang diharapkan rakyat adalah pemimpin yang ikhlas mendengar suara rakyat dan mengotakan janji. Berhenti mengula-gula kan rakyat. Berhenti meremehkan suara rakyat. Rakyat kini semakin bijak berfikir! Adios...!


Tinta Saya,

READ MORE

Kerisauan saya

Posted by adzlyna86 On 11 March 2010 Comments
Beberapa perkara ini berlegar dikepala dalam beberapa hari ini. Melihat keadaan semasa sekeliling dan saya merasakan perkara ini tersangat perlu diberi perhatian oleh ahli gerakan, para aktivitis yang menjadikan pembaikan ummah sebagai matlamat amalnya. Mungkin dikatakan benda remeh, masalah teknikal, perkara furu' tetapi saya merasakan item-item terkadang menjadi perkara yang kita sering terlepas pandang.

1) Mudahkan Jangan Susahkan
Bagaimana kita membuat sesuatu yang hendak disampaikan dilihat mudah dan mesejnya sampai? Terkadang kita terlupa untuk memudahkan sesuatu yang hendak disampaikan. Kita merasakan telah melakukan yang 'perfect' namun ianya menjadi sesuatu yang kompleks. 

Beberapa adat kebiasaan yang dilakukan. Kuliah dasar sehala memakan masa sejam  lebih dan akhirnya ramai yang angguk-angguk faham daripada yang segar. Risalah yang panjang berjela, copy dan paste sahaja dan akhirnya di selit di bawah meja atau di dalam fail. LDK bermodul bermacam versi dan akhirnya yang tinggal kepada peserta, hanya soalan: "eh..apa tujuan kita buat semuanya ni?". 



Simple is nice - prinsip saya dalam bab design dan saya merasakan teramat perlu kita berfikir sehabis baik untuk memudahkan orang lain dalam apa jua yang kita lakukan. Memudahkan orang faham. Memudahkan orang datang kepada kita. Dengan harapan, 'mudah' itu menjadi penyebab mesej kita sampai dan dirasai.






2) Tersusun-Teratur-Terancang   VS    Terabur-Terlewat-Tangkap Muat
Kebenaran yang terabur bisa di kalahkan oleh kebatilan yang sistematik ~edited from kata-kata Saidina Ali yang menjadi pegangan kita selama ini. Tapi cakap memang tidak serupa bikin. Kita tidak sampai lagi peringkat YAKIN dengan pegangan ini. Hanya PERCAYA. Buktinya, boleh dikira berapa kali sahaja meeting yang tidak menjadikan agenda menunggu orang sebagai agenda pertama. Sebut 8.30 malam, mafhum tersuratnya adalah 9.00 malam.
Lagi buktinya, hari yang paling sibuk dalam masa sebulan/seminggu merancang program adalah sehari sebelum program berjalan. 

Saya sendiri telah terbiasa hidup dalam budaya kerja 'last minit' dari kerjanya hingga ke study sekalipun. Namun, saya merasakan perlunya kebiasaan ini di ubah. Budaya kerja Tersusun-Teratur-Terancang ini akan lebih memudahkan ramai orang dan mengurangkan risiko kegagalan mencapai matlamat. Yakinlah, jangan hanya percaya.


3) Fikirkan 94 % berbanding 4%

Pertama kali mendengar tentang Blue Ocean Strategy beberapa tahun lalu, saya merasakan strategi marketing ini cukup baik untuk di laksanakan dalam usaha mencapai sasaran kita. Realiti yang terjadi, berdegar-degar bercakap tentang 'untapped market'. Tapi akhirnya masih membuat program di tempat yang sama, modus operandi yang sama, cara yang sama.  Seorang senior pernah melontarkan -target kita adalah 94 % manusia yang fesyen hidupnya jauh berbeza daripada kita yang jumlahnya hanya mencapai 4 % daripada jumlah keseluruhan. Namun, aksi dan tindakan kita masih tidak bersungguh-sungguh untuk memenangi hati golongan 94 % ini.






4) Mengikat Hati bukan mudah
Berapa banyak tempat program pernah di jelajahi, berapa ramai orang-orang yang telah di temui, berapa ramai adik-adik fasilitator pernah di LDK kan, berapa ramai orang-orang yang telah datang ke program kita ? Berapa ramai orang yang pernah berkerja dengan kita? Tidak terhitung ramainya manusia yang telah kita temui dan jumpai, namun terkirakah kita berapa ramai yang masih ada keterikatan HATI dengan kita?

Buku Abbas Assisi : Bagaimana menyentuh hati, How To Win Friends & Influence People -Dale Carniage merupakan antara buku-buku yang cukup baik untuk mengajar kita bagaimana cara terbaik dan mudah untuk mengikat hati manusia. 

Kita meyakini barisan yang kukuh dan tersusun merupakan antara kekuatan utama kita. Di sebalik barisan yang kukuh ini, haruslah dimulakan dengan ikatan hati yang kukuh sesama ahli barisan. Usaha  kita perlu lebih ke arah proses mengikat hati-hati manusia. Apapun, dalam bab kesatuan hati ini, yang paling utama perlu ingat :
...Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, niscaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana..(8:63)


Penutup : 
Mungkin nampak terabur apa yang ingin disentuh dalam tulisan kali ini, tapi cubaan ini adalah untuk meluahkan kerisauan yang saya rasai dan merasakan perkara ini sangat-sangat perlu dibaiki untuk memastikan kelangsungan gerak kerja membaiki ummah ini. Benda-benda yang mungkin difikirkan kecil dan mudah tapi sebenarnya sangat penting dan sering terlepas pandang. 


Tinta Saya,
READ MORE
Powered by Blogger.

Followers

My Devotion Is My Passion

Nzlaa86 Production's