BERFIKIR SEPADAN DENGAN ZAMAN

Posted by adzlyna86 On 25 May 2011 Comments


Situasi 1 : "Saya suka berfikir dari kecik,kenapa benda ni tak boleh. Kalau tanya ustaz masa sekolah,eh jangan byk tanya haram..-Sham Kamikaze"

Situasi 2 : (di dalam kelas 3 Cekal)
Anak murid : "ustzh2..kenapa main alat muzik bertali haram?"
"Betul ke pelacur yang beri minum air dlm kasut kpd anjing akn masuk syurga?"

Apabila menjejakkan kaki kembali ke sekolah, beberapa hipotesis awal ternyata absah. Anak murid sekarang tidak serupa di zaman kita menjadi anak murid. Ada pro dan kontranya. Tidak mahu membahas kontranya kali ini, mahu mengambil sisi yang positif.

CARA BERFIKIR MEREKA JAUH BERBEZA
Menerima hakikat pemikiran manusia juga turut mengalami proses sosialiasinya tersendiri. Justeru, tidak hairan jika kita melihat pola kehidupan masyarakat di luar, maka kita melihat perkara yang sama dalam pola tindak tanduk pelajar di dalam kelas.

Zaman semakin berkembang, globalisasi sudah lama lumat dalam segenap aspek kehidupan. Pemikiran manusia juga semakin berkembang. Dunia tanpa batasan, maklumat di hujung jari, wireless di mana-mana, Facebook semua orang ada. 

Apabila masuk ke dalam kelas, memulakan komunikasi dengan murid. Ya, cara berfikir mereka jauh berbeza. Lambakan maklumat menjadikan generasi muda di sekolah serba tahu. Guru bukan menjadi sumber primer, turun pangkat menjadi sumber sekunder. Haji Google dan Dr.Facebook mengambil tempat pertama menjadi sumber maklumat mereka.

mereka betul-betul berfikir luar kotak
Muncul lah pertanyaan-pertanyaan yang memerlukan guru lebih menggunakan neuron otak untuk berfikir dan soalan murid-murid bukan calang-calang. Jawapan yang perlu dicari dan diberi kepada murid juga bukan alang-alang. Perlu logik dan di terima akal.

Bukan sekadar mengatakan, "Haram" "Tak boleh". Jika masih begini tahap jawapan guru, bersedia lah menerima pertanyaan susulan, "yelah ustazah, saya tahu haram. Tapi kenapa pula HARAM?".

TIDAK RELEVEN JIKA TIDAK MENDEPANI REALITI ZAMAN
 Ya, saya yakin. Ini sedikit sebanyak gambaran generasi yang kita hadapi. Zaman sekarang bukan zaman main suap ilmu saja. Bukan zaman angguk-angguk geleng-geleng. Bukan zaman tadah ilmu semata. Bukan zaman Wala' membuta. Betapa pentingnya sebuah SOALAN dan JAWAPAN.

Apabila di bawa persoalan ini dalam konteks gerakan Islam. Persoalan menangani perbezaan pendapat dan menerima pemikiran-pemikiran yang mendepani zaman teramat perlu diberi perhatian. Jika di ruang sekecil sekolah pun dirasakan bentuk pemikiran generasi muda sudah jauh berbeza berbanding dulu, apatah lagi dalam kerangka organisasi. Organisasi yang berkesan adalah yang cepat beradaptasi dengan perubahan sekeliling.
Dalam satu segi, bukan mudah untuk kita membaca, memahami, mengatur apa yang dirasakan sesuai dan diterima oleh pemikiran masyarakat. Kerana salah satu kaedah menyatakan ;
 "Memahami waqie lebih susah daripada memahami manusia"
Namun, ianya menjadi cabaran. Bukan alasan untuk tidak melakukan apa-apa untuk berubah. Bertindaklah  mendepani zaman. Galakkan inkuiri, tabahlah melayani persoalan, berusaha mencari jawapan atas segala persoalan. Kerana kita yakin bahawa sebaik-baik aset kepada manusia adalah AKAL. Guna sebaiknya dengan berfikir yang terbaik untuk Agama Islam.

p/s : alhamdulillah buat sham kamikaze, sungguh HIDAYAH itu berada amat dekat dengan urat nadi kita, semuanya dgn izin ALLAH.


Tinta Saya,
READ MORE

Teman Baikku : B U K U (1)

Posted by adzlyna86 On 17 May 2011 Comments
Saya yakin bahawa sikap, sudut pandangan hidup, pegangan hidup seseorang adalah bergantung kepada nilai-nilai yang dikutip dan dikumpul sepanjang hidup. Bermula dari hanya mengenal ABC dan Alif Ba Ta, sehingga saat yang kita lalui kini.

Nilai-nilai ini diperolehi dari pendidikan tidak formal, pendidikan formal, pemerhatian sekeliling, pengaruh budaya dsb. Kali ini, saya tersangat mahu berkongsi beberapa buku yang mengubah serta menambah nilai-nilai yang amat berharga dalam kamus hidup saya.

Tuesday With Morrie

Buku kecil ini dibeli sebagai pilihan terakhir yang ada apabila membeli buku dan baru perasan ; eh duit tak cukup! Buku nipis ini murah sedikit berbanding buku lain. Namun, alhamdulillah pilihan terakhir ini memberi hasil yang sangat disyukuri. Nyatanya isi buku ini ada nilai yang begitu mahal untuk diserap masuk dalam kehidupan seharian.

Bercerita tentang seorang pelajar dan seorang guru tua yang menanti hari kematian kerana sakit kronik berkaitan sendi. Nilai terpenting dalam buku ini, sama seperti yang di tuntut di dalam Islam. Bukan setakat menghargai kehidupan yang ada, bahkan lebih penting mengingati kematian. Petikan kata-kata menarik berkaitan kematian :

"Semua org tahu dia akan mati, tetapi semua org tak percaya, jika percaya kita akan melihat semua perkara dgn cara yg berbeza"

Professor Morrie membawa sudut pandang kita melihat dunia dan kehidupan sebagai sesuatu yang amat perlu dihargai. Erti hidup yang sebenarnya adalah memberi tanpa jemu. Harta, Kekayaan, Material bukanlah segala-galanya. Apa yang terpenting, kita menikmati hidup berkongsi dan memberi kepada orang lain sebaiknya. Ayat paling di ingati.."kamu tidak akan merindui hak orang lain"

"Buatlah kebajikan dgn hati yang murni. Apabila kamu berbuat begitu, kamu tidak akan berpuas hati. Kamu tidak iri hati. Kamu tidak akan 'merindui' hak orang lain. Sebaliknya kamu akan terpegun dgn apa yang datang kepada kamu."
Selesai membaca buku ini, cukup memberi kekuatan untuk terus berusaha memberi apa yang mampu sebaik mungkin. Menyelesaikan sedikit sebanyak persoalan ikhlas dan jujur dalam membuat kebaikan.

Trilogi : Laskar Pelangi, Sang Pemimpi, Edensor

Laskar Pelangi hanya dilihat di filem. Sang Pemimpi di novel dan di filem. Edensor pula lahir kemudian, baru ada versi novel.

Lengkap saja trilogi 3 buah buku ini, membuatkan cita-cita dan mimpi semakin berkobar-kobar. Sehingga 'partner' membaca saya pun dengan semangat mencadangkan "Kak Lina, jom kita p keliling dunia lepas habis latihan mengajar". Wah, menarik !

Beberapa sisi penting dapat diperolehi dalam novel trilogi ini. 

1) Persahabatan : Andrea Hirata berjaya membawa saya menghayati tiga watak utama Arai, Ikal dan Jimbron. Sehingga kini, nama-nama mereka terpahat dalam hati, nilai-nilai persahabatan mereka disimpan dilubuk hati paling dalam. Mahu menjadi dan mempunyai sahabat sehebat mereka. Babak yang paling diingati antara ketiga-tiga buku ini, adalah detik Jimbron menyerahkan tabung kuda kesayangannya kepada Ikal dan Arai.
2) Guru dan Murid : Bu Muslimah, Pak Harfan, Pak Mustar dan Pak Balia. Nama-nama pendidik yang berperanan penting dalam kisah 3 anak muda ini. Berjayanya seorang guru dan pendidik adalah melahirkan anak-anak didik yang lebih hebat dari dirinya dan mampu menyuntik semangat anak didik mencapai impian tidak kira cita-cita yang mereka punyai kecil mahupun besar.

Trilogi ini menyuntik semangat untuk memikirkan perkara dan perancangan yang besar-besar dan berani untuk bermimpi. Walaupun jika dirasakan mimpi itu jauh atau dekat untuk dicapai.
Negeri 5 Menara
2 Prinsip penting yang diperolehi dalam buku setebal 200 lebih muka surat ini : Man Jadda Wajada , belajar dan mengajar mesti IKHLAS.

Menelusuri buku ini dari muka surat ke muka surat menimbulkan keterujaan. Dari bermula hari pendaftaran sekolah dan sehingga hari pengijazahan. Pondok Madani membuatkan saya kagum. Berada dalam dunia utopia sebentar. Begini model pendidikan insan yang kita dambakan sekarang. Begini cara didikan yang perlu diberi kepada pelajar-pelajar. Seni mendidik yang diterapkan sama ada pada akhlak, pendidikan suatu yang praktik untuk dicontohi oleh para pendidik.

Seronok membaca buku ini, sebab ala-ala kehidupan asrama harry potter versi islamik, semangat anak muda dalam buku seperti semangat arai, ikal, jimbron dan terhibur dengan saspen-saspen yang diciptakan dalam beberapa bab.

Penutup :
Saya sangat menghargai ilmu hidup yang bernama pengalaman. Pengalaman menambah sudut pandang kehidupan kita, menambah semangat diri dan melakar jejak yang boleh disusuri untuk menjalani kehidupan. Moga dengan pengalaman diri dan orang lain, kita cepat belajar.



Tinta Saya,


READ MORE
Powered by Blogger.

Followers

My Devotion Is My Passion

Nzlaa86 Production's