Sesuatu hal menghentikan kesungguhan saya menaip assignment yang bertimbun-timbun di kala ini. Bertukar mood ke blogger untuk mengisi blog. Ada sesuatu yang di rasakan perlu diluahkan. Di kala heboh orang membahaskan tentang MEB, APCO -One Israel vs One Malaysia. Sejenis kekacauan yang perlu kita duduk dan amati bersama. Kekacauan AKHLAK dan JIWA masyarakat yang semakin kritikal. Bukti jelas yang kita lihat setiap hari...
KUALA LUMPUR - Anak pegawai polis maut akibat ditikam di dada dan perut di hadapan sebuah restoran di Jalan Pudu di sini awal hari ini. K. Daniel Danish, 25, yang cedera parah akibat kejadian itu mati sebaik tiba di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
TELUK INTAN 15 Mac - Ketua Pemuda Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak, Panthiyan a/l Patchamuthu mati ditembak di hadapan kedai mencuci kereta miliknya di Langkap petang tadi. Dua das tembakan dengan satu mengenai kepala dan dada mengakibatkan mangsa mati di tempat kejadian jam 3 petang tadi. Difahamkan, suspek menaiki motosikal dengan nombor pendaftaran palsu datang ke kedainya lalu melepaskan tembakan dari jarak dekat. Mangsa yang berusia 34 mengalami kecederaan parah di kepala mati di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Hilir Perak untuk bedah siasat.
Buang ANAK macam buang SAMPAH ???
Bakar bayi dalam tong sampah
13 Feb 2010
KUALA KRAI: Menyayat hati apabila seorang bayi lelaki yang baru lahir bukan saja dibuang ke dalam tong sampah, malah mayatnya dibakar sehingga melecur seluruh tubuh.
Bayi malang itu ditemui tiga sekawan yang juga pekerja kontrak pengangkut sampah Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK), kira-kira jam 10 pagi semalam.
Mayat bayi putus tangan digonggong anjing ditemui
27/3/2010
PETALING JAYA: Dengan salah satu tangannya putus dipercayai digigit anjing liar, mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan cukup menyayat hati berhampiran sebuah kilang simen di Kampung Melayu Subang, di sini petang semalam. Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui seorang penduduk setempat pada jam 4 petang selepas melihat seekor anjing liar menggonggong objek menyamai tangan manusia di kawasan timbunan sampah di situ.
Mayat janin dalam balang gula-gula
31/3/2010
KUALA LUMPUR : Kelmarin, mayat janin perempuan berusia antara tiga hingga empat bulan yang masih bertali pusat ditemui di hadapan Tokong Foo Yan di Jinjang Utara di sini.
Mayat tersebut ditemui disumbat di dalam balang gula-gula setinggi 0.1 meter oleh seorang pengawal keselamatan, M. Joseph, 33, pada pukul 11.30 malam.
anak halal vs anak haram?
Gejala anak haram di sekolah menengah di Sandakan : sumber
Dalam kejadian terbaru, seorang pelajar sekolah tingkatan lima SMK Merpati Sandakan telah melahirkan anak perempuan luar nikah di Hospital Duchess of Kent, Sandakan petang kelmarin. Mengikut maklumat yang diterima daripada kakitangan Hospital Duchess of Kent, pelajar berkenaan mempunyai skandal dengan beberapa pelajar dan guru sekolah terbabit dan tidak ada pihak yang mahu bertanggung jawab di atas perbuatan mereka sehingga pelajar berkenaan melahirkan anak di hospital tersebut setelah percubaannya menggugurkan anak gagal.
17,303 anak luar nikah didaftar 2009
KUALA LUMPUR: Seramai 17,303 anak luar nikah Melayu atau tidak sah taraf didaftarkan di seluruh negara sepanjang tahun lalu. Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, berkata bilangan itu meningkat 762 kes berbanding tahun sebelumnya. Pada 2008 seramai 16,541 anak luar nikah didaftarkan di JPN manakala pada 2007 seramai 16,100 orang. Alwi menjelaskan dalam tempoh lima tahun lalu, JPN mencatatkan 74,723 pendaftaran anak luar nikah adalah membabitkan orang Melayu/Islam.
Kesalahan KITA : Guna yang LAHIR untuk kawal yang BATIN.
Memetik isi buku Ust. Pahrol Mohd Juoi. "Dilema Melayu-Islam, Kurang Zikir Atau Fikir" :
Kita terlalu bergantung kepada hukuman, ganjaran, peraturan dalam mendidik manusia. Lihat saja berapa banyak akta yang dikuatkuasakan, berapa banyak suruhanjaya khas telah di tubuhkan, berapa lama hukuman penjara yang dijatuhkan. Semuanya ternyata GAGAL mendidik masyarakat. Tahun ke tahun jenayah yang dilakukan semakin 'upgrade', dari kelas ketiga hingga kelas pertama semua telah terjadi di negara kita yang kita cintai ini. Manusia menjadi semakin liar kerana di kawal dari LUAR bukan dari DALAM.
Saya melihat peningkatan kes jenayah dan masalah moral yang semakin mendadak ini sangat perlu diberi perhatian oleh kerajaan dan semua pihak. Kebimbangan yang besar perlu diletakkan lebih dari kebimbangan masalah ekonomi Malaysia yang tidak stabil dalam menangani isu ini.
Beberapa cadangan mendidik JIWA masyarakat :
Kempen Nilai Perlu di perhebatkan di media perdana
Saya menyakini media massa mampu mengubah budaya dan pemikiran masyarakat. Bagaimana kempen 1 Malaysia yang saban hari dimainkan di televisyen, kempen anti-merokok, kempen keselamatan jalan raya. Kempen menjauhi maksiat saja yang belum ada di kaca televisyen kita. Saya amat terkesan dengan bentuk iklan kempen anti merokok ini. (Link Video) Alangkah baiknya jika kempen sebegini dapat di lakukan untuk kempen jauhi maksiat dan amalkan kehidupan yang bermoral.
Pendidikan Islam perlu diteruskan di IPTA/S
Konsep pendidikan sepanjang hayat tersangat perlu diaplikasikan kini. Melihat rata-rata golongan yang bermasalah juga ramainya dari kalangan mahasiswa/i IPT. Saya merasakan teramat releven untuk terus memberikan pendidikan moral dan sahsiah di menara gading. Selain mahasiswa pengajian Islam, mahasiswa dibidang lain terpaksa berusaha sendiri dan mencari inisiatif lain untuk menambah ilmu agama. Pendidikan Islam yang diperolehi di menara gading ini sedikit sebanyak mampu memastikan mereka masih mendapat panduan dan 'track' yang betul sepanjang pengajian.
Media Massa perlu membantu bukan menambah kerosakan
Saya bersetuju dengan sudut pandang yang dilontarkan oleh ustaz hasrizal (saifulislam). Akhbar-akhbar seharusnya berhenti mensensasikan kisah-kisah mungkar ini. Sesetengah akhbar kadang-kadang melaporkan jenayah seolah-olah seperti memberikan manual tindakan lengkap kepada pembaca akhbar. Dari yang tidak tahu, jadi tahu seterusnya mencetuskan perasaan mahu untuk mencuba. Cukup akhbar berfungsi untuk memberitakan untuk memberi pengajaran dan mencetuskan perasaan takut masyarakat untuk melakukan sesuatu kemungkaran.
Apapun, yang paling diharapkan sekali yang terutama sekali ialah kembali lah menjadikan ISLAM dan segala hukum yang Allah tetapkan sebagai asas kepada penawar kepada semua 'kesakitan' ini. Janji Allah bahawa kefasadan berlaku kerana tangan manusia sendiri telah berlaku, namun sayangnya Allah pada kita segala penyelesaian ada di depan mata. Tinggal membuat pilihan. Ambil semua ataupun kita terus akan berada dalam kebinasaan..
Perumpamaan orang yang tegak dalam hukum Allah s.w.t. dan orang yang tergelincir bagaikan rombongan yang naik kapal maka masing-masing bertempat diatas dan dibawah, maka ketika mereka sedemikian, tiba-tiba orang yang berada dibahagian bawah mengambil kapak lalu ditanya oleh kawan-kawannya: Apakah maksudmu? Jawabnya: Saya akan melubangi tempatku supaya dekat dengan air sehingga mudah bagiku mengambil atau membuang air. Maka sebahagian yang lain berkata: Biarkan ia berbuat sesukanya dibahagiannya, sebahagian yang lain pula berkata: Jangan kamu biarkan dia melubangi bahagian bawah dari kapal ini, nescaya ninasa dan membinasakan kita semua, maka bila mereka dapat menahannya bererti selamat dan selamat semuanya tetapi bila mereka tidak mencegahnya maka binasa dan binasa semuanya." -Al Hadith
Moga kita tidak menjadi orang yang tenggelam, orang yang melubangi kapal mahupun orang yang melihat saja dan hanya tahu bercakap, lebih teruk lagi orang yang tidak peduli apa-apa. Untuk kali ini, ini sahaja yang mampu diluahkan dari seorang pemerhati dan rakyat biasa. Azam saya di saat ini, juga akan berusaha melakukan sesuatu untuk menyumbang kepada pengislahan umat-Mempertingkatkan kemahiran mendidik manusia antara yang utama..doakan.
Sekian lontaran dari orang biasa yang masih belajar...
Al Fatihah : kebahagiaan dalam perpisahan
-
Rindu sesuatu. adalah hajat yang padu jika niat asasnya jujur ibadah ingin
bahagia sesama insan bakti mullia yang berterusan tulus amalan hajat
diperlu unt...