Saya teruja apabila pertama kali mendengar Sister In Islam menerbitkan sebuah dokumentari "Mencari Kartika". Saya terlepas menonton screening pertamanya awal Julai 2010 dan baru-baru ini sempena Freedom Film Fest 2010, filem ini merupakan salah satu filem pendek yang ditayangkan. Peluang ini tidak dilepaskan, nekad meredah hujan mahu melihat dokumentari ini. Pengalaman yang memang berbaloi kali ini.
INSPIRASI MEREKA
Pengarah dokumentari ini ialah Norhayati Kaprawi merangkap aktivis Sister In Islam. Apa inspirasi mereka membuat dokumentari ini? Jawapannya sudah ditemui di pamplet program secara jelas menyebut,
|
Norhayati Kaprawi |
"Norhayati Kaprawi mendapat ilham untuk membuat “Mencari Kartika” setelah kaji selidik oleh Merdeka Center mendapati bahawa majoriti umat Islam di Malaysia menyokong hukum rotan untuk Kartika Sari Dewi kerana minum alkohol. Dokumentari ini mengkaji persepsi umat Islam tentang ‘keadilan’ dalam konteks Malaysia yang dikenali dengan imej moden, progresif dan pelbagai etnik"
Ya, mereka mahu membuktikan sesuatu apabila membuat dokumentari ini. Persepsi dan realiti kefahaman dan pemikiran masyarakat tentang isu sebat Kartika. Adakah kaji selidik yang telah dijalankan mencerminkan kehendak sebenar masyarakat? Adakah ianya 'valid' dan relevan?
APA YANG BERJAYA DIBUKTIKAN?
1. Kefahaman masyarakat masih celaru tentang hukuman sebat kepada peminum arak. Ada yang bersetuju tanpa faham, ada yang tidak bersetuju bahkan menentang. Kenyataan salah seorang yang ditemuramah :
"There is a perverse pleasure in seeing a hapless offender be subjected to further degradation. I am sure this is not Islam. I wouldn’t take my children to a whipping. It is not education. It is brutalisation.”
2. Sistem kehakiman dan perundangan Malaysia yang lemah mengundang fitnah. Dalam dokumentari ini baru dapat melihat secara dekat bagaimana sebenarnya proses perundangan yang dilalui oleh Kartika. Mengakui bahawa dari satu segi Kartika sememangnya menjadi mangsa kezaliman sistem perundangan yang korup. Pelaksanaan hukum syariah yang masih longgar, campurtangan bermacam-macam, cakap-cakap media yang membakar keadaan ketika itu. Sehinggakan keluar dari mulut Kartika sendiri, "Saya sudah tidak kisah untuk disebat, kerana HATI saya telah lama disebat dengan segala apa yang berlaku kini". Atas segala apa yang berlaku yang dipertontonkan dalam dokumentari ini, akhirnya menjustifikasikan satu kesimpulan kepada para penonton pada hari itu yang majoritinya bukan Islam. "owh,saya terkejut. Begini kah rupanya pelaksanaan Islam di Malaysia?" Saya terkedu.
MEREKA BERSUNGGUH. KITA?
Ya. Mereka bersungguh. Mahu membuktikan sesuatu dalam dokumentari pendek ini. Hukuman sebat tidak releven untuk dilaksanakan kerana menyakiti wanita, menzalimi wanita, memalukan wanita, tiada belas kasihan. Dalam sejarah Islam hukuman sebat di jalankan jika terbukti mereka yang minum arak menimbulkan kerosakan dan kekacauan dan dalam kes Kartika, dia tidak menimbulkan sebarang kekacauan. Orang ISLAM sendiri tidak jelas atas sandaran apa hukuman sebat di jalankan. Ini yang mahu dibuktikan, dan mereka boleh dikatakan berjaya.
Mereka bersungguh, nekad dan konsisten. Lihat saja apa tuntutan kesatuan mereka dalam isu kartika ini. Bijak mengambil peluang yang ada.
JAG dan SIS melalui memorandum kepada PM telah mendesak Kerajaan Persekutuan untuk memansuhkan undang-undang jenayah syariah yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri. Tindakan yang sama juga pernah dilakukan melalui memorandum yang di kemukakan kepada Kerajaan pada tahun 2005 dan ditandatangani oleh 300 individu dan NGO termasuk Menteri-menteri Kabinet beragama Islam yang sedang berkhidmat. (Mstar)
Kita bagaimana? yang TAHU bahawa usaha mereka yang bersistem dan konsisten ini ada sumbangnya. Ada yang perlu diperbetulkan. Apa yang telah dilakukan setiap kali isu gender dan keadilan Islam ini dimainkan? Sungguh, kita masih gagal menyambut dan mengolah isu ini agar difahami secara baik oleh semua pihak.
KEKESALAN YANG DITELAN
Seusai habis sesi tayangan dokumentari diadakan sesi soal jawab, mungkin 'culture shock' sebab menjadi 'ghuraba' ditengah-tengah majlis seperti ini yang jarang dihadiri. Saya terkedu. Terdiam. Hanya mampu mencermati, tidak mampu mengangkat tangan untuk mengucapkan sesuatu walaupun membuak-buak yang mahu diluahkan. Yang banyak
bertanya adalah non-muslim dan yang menjawab ialah mereka yang arif
dalam mendefinisikan agama mengikut logik akal mereka semata-mata. Sungguh merasa kerdil dan tidak mampu apabila duduk di medan sebenar. Bukan mudah rupanya, jika bekal di dada belum mencukupi.
Lagi membuatkan saya terkedu, semasa perjalanan keluar, tiba-tiba ditahan oleh seorang sukarelawan wanita, mungkin melihat kami yang agak 'ganjil' dalam majlis itu, bertanya "Mengapa tidak bangun bercakap tadi? Setuju kah dengan apa yang mereka cakap? Kami tidak setuju, tapi kami ni tak berani mahu ke depan" ujar mereka. Rupanya ada harapan yang dikecewakan sekali kerana kegagalan mahu bersuara. Menelan kekesalan yang teramat buat sekian kali.
Pengalaman ini dimanfaatkan sebaik mungkin. Memberi kekuatan untuk mengusahakan sesuatu. Memberi kekuatan untuk lebih membina diri. ILMU dan PEMIKIRAN. Masa tidak banyak, jadi usaha kena lebih. Tidak mahu menelan kekesalan buat kali kedua mahupun seterusnya.
Pengalaman ini tidak ternilai harganya.
Aku "Mencari Kartika" dan aku menjumpai mereka...
Tinta Saya,