Pilihanraya Kecil Batu Sapi merupakan pilihanraya kecil yang pertama diadakan di Sabah pasca PRU 12. Sabah dan Sarawak yang digelar ‘simpanan tetap’ buat kerajaan BN dikira lengkap teruji apabila Sarawak terlebih dahulu melepasi ujian dengan PRK Sibu dan kini Sabah pula diuji dengan PRK Batu Sapi. Kesudahan untuk Sibu telah diketahui ramai apabila rakyat Sibu mengejutkan Malaysia dengan memberi kemenangan kepada Pakatan Rakyat (DAP). Batu Sapi pula kini dinanti, mungkinkah ada perubahan?
RUANG terakhir untuk bersuara : KERTAS UNDI !
Malaysia adalah negara demokrasi berparlimen. Ciri utama demokrasi berparlimen adalah adanya PARLIMEN untuk wakil rakyat mewakili suara rakyat dan adanya PILIHANRAYA untuk rakyat memilih pemimpin yang akan mewakili mereka. Demokrasi sepatutnya menjadi satu proses mengupayakan rakyat membuat PILIHAN sendiri. Satu proses memberikan keadilan yang sama rata kepada semua pihak untuk bersuara. Walaupun kita sedia tahu bahawa keadilan dan hak sama rata ini sudah lama tidak kita rasai oleh kita selaku rakyat Malaysia.
Selama ini rakyat dimomokkan dengan kefahaman :
“kami berkuasa-kamu kena dengar cakap kami”. Kefahaman ini sangat bertentangan dengan prinsip demokrasi yang menjadi asas perlembagaan negara kita. Rakyat berhak membuat pilihan yang dirasakan terbaik untuk diri mereka dan ruang yang sama rata perlu dirasai oleh rakyat. Tidak perlu diatur,dicatur,diancam atau disekat. Rakyat berkuasa memilih. Ini perkara penting yang perlu difahami oleh rakyat.
Pilihanraya adalah ruang untuk rakyat memilih. Dan yakinlah bahawa, ruang terakhir yang masih tinggal untuk rakyat bersuara adalah melalui KERTAS UNDI ! jadi, jangan sia-siakan peluang ini.
"Pilihanraya adalah ruang untuk rakyat memilih. Dan yakinlah bahawa, ruang terakhir yang masih tinggal untuk rakyat bersuara adalah melalui KERTAS UNDI ! jadi, jangan sia-siakan peluang ini"
Nilai prestasi bukan hanya janji
Selain itu, apa yang perlu difahami oleh kita selaku rakyat. Musim pilihanraya adalah masa untuk kita mengukur dan menilai prestasi pemimpin atau parti yang selama ini kita pilih berkhidmat untuk rakyat. Musim pilihanraya bukanlah untuk kita hanya mendengar janji-janji manis bertimbun-timbun. Ya, kita perlu pertimbangkan janji mereka untuk melihat siapa yang menawarkan khidmat terbaik untuk rakyat.
Namun, jangan lupa prestasi mereka juga perlu dijadikan ukuran. Rakyat perlu menilai prestasi bukan sekadar menerima janji. Prestasi sudah terbukti dan janji bila-bila masa boleh dimungkiri. Jika sebelum ini, sudah dipilih sebagai wakil rakyat namun jarang sekali turun berjumpa rakyat, masalah rumah setinggan rakyat di lihat sebelah mata, masalah pendidikan anak-anak tempatan tidak dipeduli, meluluskan peruntukan untuk membaiki jambatan pun cukup susah. Prestasi wakil rakyat sebegini layak diberi gred C- dan jika rakyat masih terus meneruskan memilih parti wakil rakyat yang sudah ada prestasi Gred C- ini. Malang sungguh…
Contohi sikap rakyat SIBU
Rakyat Sibu mengejutkan Malaysia apabila memutuskan membuat perubahan yang tidak sangka-sangka semasa pilihanraya kecil Sibu. Perubahan yang dilakukan bersebab, pengundi Sibu sudah mula mengerti akan nilai-nilai keadilan dan kesaksaman. Mereka semakin celik bahkan telah muak dengan gelagat pimpinan yang membolot kekayaan negeri. Mereka juga tidak makan dengan ugutan dan ancaman. Selama bertahun-tahun mereka memilih pemimpin yang tidak bersungguh dalam membela nasib mereka. Masalah kemiskinan, kemudahan yang tidak mencukupi, masalah banjir semua ini tidak dibela. Mereka juga tidak tergula-gula dengan janji “I Help you,you help me” dan janji manis 5 juta untuk membeli undi mereka.
"Mereka nekad mengubah sesuatu melalui kertas undi. Hasilnya slogan Sibu For Change berhasil. Mereka telah mengundi untuk perubahan"
Semangat dan kefahaman rakyat sibu ini yang perlu dicontohi oleh rakyat Batu Sapi. Sabah juga memerlukan perubahan, dan saya yakin perubahan ini perlu dimulakan di Batu Sapi !
Akhirnya. Kepada rakyat sabah, khususnya rakyat di Batu Sapi. Jadilah bijak dalam memilih pemimpin yang selayaknya memperjuangkan nasib rakyat dan tunaikan amanah sebagai rakyat Sabah yang mahukan perubahan yang lebih baik di negeri Sabah tercinta. Turunlah mengundi. Jangan takut membuat perubahan kerana perubahan itu hanya lahir dari jiwa-jiwa yang berani untuk menegakkan kebenaran dan keadilan.
Selamat Mengundi buat rakyat Batu Sapi!
Tinta Saya,