Kali ini menulis tentang industri filem dan drama di Malaysia. Beberapa entri sebelum ini telah menulis tentang ulasan filem : BOHSIA dan LASKAR PELANGI. Kita dapat melihat pola pemikiran masyarakat kini semakin dicelarukan dengan hebatnya melalui jalan media massa ; kecelaruan akidah,campur aduknya batil dan hak, doktrinisasi hedonisme yang tidak henti-henti.
Berikut Shortlist 24 Filem sepanjang tahun 2009 di Malaysia. Anda bijak menilai bagaimana keadaan mentaliti masyarakat yang telah terbentuk setelah dihidangkan semua ini. Acuan filem malaysia ; lawak slapstik, tahyul dan khurafat, pesta hidup muda-mudi. Lihat dan kira daripada 24 filem ini sahaja, berapa banyak yang boleh pakai dan berkualiti .
1)Lembing Awang Pulang Ke Dayang
2)Johnny Bikin Filem
3)Lu Pikirlah Sendiri de Movie
4)Talentime
5)Syurga Cinta
6)Syirik
7)Eee...Hantu!!!!!
8)Shh...Dia Datang
9)Berani Punya Budak
10)Setem
11)Hooperz
12)Janin
13)Jomlah C.I.U.M
14)CCTV
15)Cinta Terakhir
16)Misteri Dendam Balan Balan The Movie
17)Ablasa (Bisikan Syaitan)
18)Muallaf
19)Papadom
20)Taiko
21)Kantoi
22)Sayang You Can Dance
23)Jangan Tegur
24)Estet
Membarahnya aliran machivellian
Alasan lapuk dan plastik yang sering digunakan para pembikin filem untuk menghalalkan scene-scene mungkar adalah "memberi pengajaran kepada masyarakat" dan "mendidik moral". Jelas, nilai machivellian -matlamat menghalalkan cara- yang asalnya berkait rapat dengan dunia politik,kini juga menjadi pegangan di kalangan pembikin filem. Produk yang dihasilkan cuba mendedahkan atau melakonkan realiti atas alasan sempadan dalam pendidikan moral, walhal nilai Machiavellian ini jelas bertentangan dengan kaedah di dalam Islam, atau keadah Fekah yang digelar "sad al-zara'ie" atau menutup pintu-pintu keburukan. Lihat saja bagaimana mereka menghalalkan adegan 18SX dalam filem BOHSIA,JALANG atas alasan mendidik masyarakat. Masyarakat bukan jadi lebih terdidik, bahkan menjadi semakin caca marba! Tikus membaiki labu gelaran bagi mereka !
Khurafat dan Tahyul yang semakin dahsyat
Jika kita singkap kembali sejarah filem Melayu, filem Pontianak, yang diterbitkan pada 1975, merupakan filem Melayu genre seram pertama yang diarahkan oleh BN Rao. Filem yang menampilkan primadona Datuk Maria Menado ini mendapat sambutan di luar jangkaan. Namun, selepas itu industri perfileman Malaysia dilihat seperti ketandusan filem genre seram selepas terpaksa berdepan dengan peraturan dan penguatkuasaan yang tegas oleh Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) pada waktu itu. Pengharaman filem Fantasia arahan Aziz M.Osman,
atas alasan filem itu mengandungi unsur-unsur tahyul dan boleh memesongkan akidah, adalah salah satu bukti ketegasan pihak LPFM ketika itu. Kesannya menyebabkan ramai pengusaha filem tidak berani untuk menghasilkan filem-filem seram lagi kerana membayangkan risiko kerugian jika filem mereka itu tidak diluluskan.
Tetapi, senarionya berubah sejak akhir-akhir ini. Ketegasan dalam melaksanakan peraturan yang diletakkan oleh pihak LPFM atau FINAS dilihat menghadapi era yang baru. Kelonggaran untuk menghasilkan filem-filem genre seram ini diberikan kepada pengusaha filem tempatan, malah mendapat dokongan yang padu. Memetik kata-kata Ketua Pengarah FINAS, Mohd Mahyidin Mustakim ketika majlis pelancaran Pameran Filem Seram 2009 di Galeri
Perfileman Finas, katanya: ”Selama 35 tahun industri perfileman kita tidak menerbitkan filem seram, inilah
masanya kita kembalikan kegemilangan filem seram seperti yang pernah kita capai pada 1950-an keluaran Cathay Keris dan Malay Film Production dulu.”
Sebab itu kita dapati, ramai pengusaha filem yang kembali rancak menghasilkan filem-filem seram ini. Antara yang terbaru ialah seperti filem Tujuh Perhentian, Makar, Di Ambang Misteri, Anak, Maut, Rasukan Ablasa, Jin Hutan, Jangan Tegur, Congkak, Jangan Pandang Belakang Congkak dan pelbagai lagi. Senarai ini belum ditambah dengan siri-siri drama seram yang disiarkan melalui kaca televisyen seperti Saka, Puaka Niang Rapik, Keliwon dan lain-lain lagi. Entah berapa banyak lagi filem-filem seram ini akan dihasilkan? Sama-samalah kita tunggu dan jangan terkejut jika generasi masa depan adalah generasi yang penakut akan hantu melebihi takut akan Tuhan ataupun mengenali jenis-jenis hantu dari Tuhan.(1)
(1) petikan Kertas Kerja Media massa dan serangan pemikiran- Abdul Razak Abd Muthalib,Ezry Fahmy Bin Eddy Yusof (2009,UIA)
Masih ada yang peduli
Sama ada kita tahu ataupun tidak, masih ada penggiat filem yang PEDULI tentang dakwah dan usaha mengajak ke arah kebaikan dengan cara yang baik. Teater Sirah Junjungan 1 & 2, Natrah, dan yang terbaru Teater Antara.. merupakan hasil tangan Erma Fatimah. Di kala alam perfileman dan pementasan malaysia yang semakin jelik dan merimaskan,usaha Erma Fatimah perlu di puji. Walaupun, semasa menganjurkan Teater Sirah Junjungan 2, beliau mengakui tidak ramai pihak yang berminat untuk memberikan tajaan untuk produk sebegini. Namun, Beliau membuktikan usaha didikan masyarakat melalui teater yang bermatlamat baik dan dengan cara yang betul tidak mustahil untuk dilakukan.
Teater Antara..yang bakal dipentaskan di Istana Budaya pada 26-28 Februari ini bersempena maulidurrasul. Petikan akhbar :
Nyata, bukan mudah memikul tanggungjawab untuk membawakan naskhah tulisan Erma ini. Cukup berat dan bukan calang-calang orang mampu menggalas amanah itu. Bagi Nasha, membawakan watak yang ada kaitan dengan kisah perjuangan Rasulullah dan dan Nabi Adam A.S cukup membekas dalam jiwa serta emosinya. Jika tidak masakan air mata menjadi peneman ketika temu bual dijalankan.
“Apabila terbabit dalam teater yang mengenang kisah kelahiran dan perjuangan Rasulullah SAW, hati dan perasaan saya cukup sedih dan sayu. Serta merta teringat akan kekurangan diri, kejahilan serta kerdilnya diri ini. Sebagai manusia yang pastinya tidak sempurna, membawakan watak seperti ini memberikan impak yang cukup besar terutama dalam hal emosi diri ini" -sumber bharian (LINK)
Saya merasakan usaha Erma Fatimah yang dilihat terus komited dalam mewarnai industri filem dan pementasan Malaysia dengan elemen dakwah perlu diberi sokongan daripada segenap lapisan masyarakat.
Saya yakin masyarakat pun mendambakan filem-filem yang baik dan ikhlas. Lihat saja sambutan luar biasa terhadap Drama Nur Kasih dan filem KCB 1 & 2. Ada betulnya falsafah Kang Abik "Kalau orang haus kita kena bagi minum bukan bagi keropok. Macam mana sedap pun dia tidak akan ambil kerana apa yang dimahukan adalah minuman". Masyarakat haus terhadap dakwah dan pembaikpulihan akhlak, dan benda ini yang kita perlu berikan kepada masyarakat. Bukan perkara selain ini.
Sekian lontaran dari diri yang masih belajar...