Refleksi guru yang sedang berlatih

Posted by adzlyna86 On 26 June 2011 Comments
Memakai nametag hitam putih ini pada 8 tahun lalu mungkin tidak ada dalam niat atau diletakkan dalam senarai cita-cita. Tapi, percaturan Allah adalah yang terbaik. Allah mengurniakan ruang dan peluang untuk saya menyemat kemas nametag ini di tudung pada hari ini. Alhamdulillah. 

Mungkin falsafah tersirat di sebalik pemilihan warna hitam putih nametag seorang guru adalah kerana seorang guru lah yang menunjukkan kepada anak didik, hitam dan putih di dalam kehidupan - baik buruk yang ada dalam dunia ini. Mungkin.

Dua minggu awal yang menguji
Ya, kelihatan 2 minggu yang awal ini seolah kehilangan rentak. Jika dulu, saya paling tidak menyukai guru yang hanya memuntahkan maklumat kepada anak didik, oh tidak, rupa-rupanya kini saya pernah berbuat sedemikian. Ketuk dulang paku serpih, kata orang saya yang lebih. Mungkin dek kerana masih terkial-kial menyusun pengajaran mengikut RP, mengagak masa yang perlu dikejar, menyesuaikan pendekatan pengajaran dengan tabiat pelajar. Hasilnya, saya mencipta rekod terawal kerana sekali dua pernah memuntahkan segala maklumat di dalam buku teks kepada pelajar di dalam kelas. Banyak kali, menyedari satu perkara. "apa agaknya yang diperolehi oleh anak didikku di kelas hari ini?". Rasa menyesal di hati yang paling dalam jika hari itu tidak mampu memberi sesuatu yang lebih dan bukan setakat memuntahkan apa yang ada di dalam buku teks.

Begini wajah medan pendidikan yang kita ada
Pola tabiat dan tingkahlaku di sekolah kini, mungkin hampir sama. Hampir semua sekolah, kelas yang paling di geruni dan kecut perut untuk dimasuki hatta untuk 'relief' (ganti guru) adalah 4 J..4 H..4 I..yang abjadnya semakin ke akhir. Tabiat pelajar dinilai berkadar langsung dengan abjad kelas yang mereka duduki. Kesannya, budaya label melabel anak didik juga menjadi semakin sebati. Alhamdulillah, di sekolah kami. Para cikgunya cukup positif. Jarang mendengar mereka melabel kelas dengan gelaran tidak baik. Paling kurang.. "oo kelas tu, takpa dorang tu kurang pandai sikit je..". Paling teruk setakat ini label yang diberi, kelas macam 'zoo'.

Kesan terbesar label melabel ini kerana ianya mempengaruhi persepsi guru secara konsisten. Mengubah niat dan mindset seorang guru terhadap anak didik. Bayangkan apabila pengalaman seorang sahabat yang mendengar sendiri guru yang melabel 6 orang pelajar yang nakal sebagai ENAM JAHANAM. Bayangkan, bagaimana nasib mereka berenam ini apabila label ini melekat sebagai doa kepada mereka. 

Sangat mengiyakan apa yang pernah dikongsi seorang sahabat lain yang terlebih dahulu merasai pahit getir dunia mendidik. Katanya "apa yang paling susah dalam kerja sebagai seorang guru adalah menjaga hati daripada terguris dek karenah anak didik kita, kita tahu apa kesan dengan anak murid jika hati seorang guru terguris". 

Merdekakan MINDA dan JIWA mereka

Saya cukup risau, apabila masuk ke kelas dan merasai jiwa dan fikiran para pelajar tidak berada di dalam kelas. Mereka seolah-olah datang ke sekolah bukan dalam mood menuntut ilmu. Krisis terbesar adalah medan sekolah kini, sama ada guru mahupun pelajar ialah semakin kehilangan adab terhadap ilmu. 

Sehingga kini masih berfikir mencari jalan, untuk membantu anak didik dalam kelas 4 Amanah,4 Budiman 1 & 2 mengenali diri mereka sebaiknya dan tahu tujuan hidup yang sebenar. Mengejar masa 4 minggu berbaki untuk mendekati hati mereka dan berusaha memberi yang terbaik untuk mereka. Minda dan jiwa mereka sudah lama terkongkong dengan sistem pendidikan yang mengajar mereka cintakan peperiksaan dan keputusan peperiksaan bukan mencintai ilmu yang diperolehi. Sistem pendidikan yang mengehadkan daya fikir dan bakat mereka. Mahu membawa mereka sudut pandang yang berbeza dalam hidup. Dan usaha ini sememangnya bukan mudah.

Akhir kalam kali ini, saya amat yakin bahawa dalam hidup ini tiada istilah KEBETULAN. Allah sememangnya mengatur untuk saya untuk duduk mendidik dan mengaut pengalaman berhadapan dengan manusia, membentuk manusia. Apa pun hasil yang akan diperolehi 4 minggu akan datang, InsyaAllah saya terima dengan redha. Apa yang penting, saya mahu berbuat yang terbaik di titik mana saya berdiri kini. Seorang guru, murobbi dan muallim. Sekian, mohon doanya untuk terus diberi kekuatan. Amin.



Tinta Saya,
READ MORE
Powered by Blogger.

Followers

My Devotion Is My Passion

Nzlaa86 Production's