Tugas kita menghapus bintik buta?

Posted by adzlyna86 On 11 September 2011 Comments
Buku yang sangat berbaloi untuk dikhatamkan. Walaupun hanya dipinjam, bukan dimiliki, tapi isi buku ini dirasakan sangat bermanfaat untuk urusan dakwah, politik dan apa jua ruang yang memerlukan kita mengurus manusia dan menawan hati orang.


Melalui bab prakata sahaja kita akan mampu menilai kekuatan sesebuah 'masterpiece' (buku ini). Apa kata Victor S.L Tan :
" Buku ini bukan sebuah buku pengurusan yang biasa..buku ini hasil pengalaman dan pemahaman praktikal yang saya tempuhi dalam 20 tahun.."

" Walaupun banyak sebab kenapa prestasi sesebuah organisasi kurang baik, saya telah mengenalpasti satu PUNCA asas yang KONSISTEN iaitu: pekerja tidak melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.."
anda perlu mengkhatamkan buku ini adalah jika Core-Business anda MANUSIA dan PENGURUSAN. Awal buku ini membawa kita mendapatkan gambaran asas bagaimana untuk memahami corak minda seseorang. Dinyatakan 5 faktor mempengaruhi corak pemikiran, perasaan dan reaksi seseorang. Iaitu Bintik Buta, Andaian, Kelekaan, Tabiat dan Sikap. Kali ini cuma mahu mengulas dan berkongsi satu idea yang menarik daripada buku ini. Iaitu tentang BINTIK BUTA (blindspot).

APA ITU bintik buta?
Orang biasa menyebutnya sebagai blindspot, jarang menyebut sebagai bintik buta. Analogi mudah yang dibawakan di dalam buku ini.



"Seorang lelaki positif dan cermat sedang memandu di lebuhraya. Van yang berada di hadapannya dipandu dengan agak perlahan. Dia mahu memotong van itu. Dia memandang cermin depan, kemudian cermin kiri, akhirnya cermin kanan. Tiada kenderaan yang kelihatan. Oleh itu, dia pun memberi isyarat untuk memotong. Pada masa itu juga sebuah kereta tiba-tiba datang dari sebelah kanan dan melanggarnya"


Apakah yang berlaku? Pemandu tidak bersikap negatif semasa memandu, dia positif dan cermat. Dia telah mengambil langkah yang betul, Cuma terdapat bintik buta di sudut tertentu pada cermin keretanya yang telah menghalang pemandu daripada melihat kenderaan yang muncul dari belakang.

2 jenis bintik buta yang ada. Satu - bintik buta semulajadi. Terhasil kerana seseorang tidak mempunyai maklumat dan tidak menyedari masalah dan isu sebenar yang wujud. Bintik buta ini akan di atasi dengan memberi mereka maklumat yang diperlukan dan membuka ruang seluas-luasnya untuk mewujudkan persekitaran yang mengalakkan mereka mengemukakan pendapat tanpa berasa takut.

Kedua- bintik buta terbentuk kemudian. Terjadi apabila seseorang menafikan idea atau maklumat yang menggambarkan keadaan sebenar secara terus terang kerana sombong atau degil semata-mata. Bintik buta jenis ini tidak dinyatakan penawarnya, mungkin usaha terakhir adalah senjata doa agar dilembutkan hati menerima kebenaran.

APA KAITANNYA dengan KITA?
Sama juga dengan masyarakat yang menjadi objek dakwah atau seruan kita. Kita tidak diterima, tidak dapat menerobosi masyarakat bukan kerana mereka benci kepada kita. Salah satu penyebabnya adalah wujudnya BINTIK BUTA yang menghalang mereka daripada melihat isu sebenar di sekeliling mereka. Mereka tidak tahu kebaikan yang kita tawarkan, perjuangan apa yang kita bawa, agenda yang kita laung-laungkan. Ketidaktahuan ini menyebabkan kita tidak mampu menawan minda dan hati mereka.

BAGAIMANA MENGHAPUSKAN BINTIK BUTA INI?

Jika dalam analogi kereta, pemandu perlu memasang cermin yang mempunyai skop yang lebih luas. Sama halnya dalam urusan dengan manusia dan organisasi. 

Pemimpin perlu memiliki skop pandangan yang lebih luas untuk menghapuskan bintik buta yang ada. Perlu mempertimbangkan lebih banyak isu dan masalah. 

Pengaliran maklumat tidak harus disekat dan isu yang sebenar perlu SAMPAI kepada masyarakat dengan lebih efektif.  Ruang untuk mengalakkan masyarakat menyuarakan rasa tanpa perasaan takut juga perlu ada.

Betapa pentingnya perkara ini untuk dilakukan, kerana sekian lama perkara inilah yang di’hilang’kan dan di’lupa’kan oleh pemerintah kepada masyarakat. Mereka secara sengaja membutakan masyarakat daripada mengetahui isu sebenar, menutup ruang bersuara untuk kita. Kerana jika rakyat tahu segala benda ini, rakyat akan jadi lebih bijak dan sedar.

PENYELESAIAN DUA PIHAK

Bintik buta juga bukan sekadar wujud kepada objek dakwah atau seruan kita. Bahkan mungkin ada pada pemimpin yang mengendalikan organisasi.

Pemimpin yang gagal menghayati kelemahan dalam organisasi mereka tidak akan merasa perlu untuk berubah dan membetulkan keadaan, mereka juga gagal melihat kecacatan ‘produk’ yang ditawarkan untuk ‘pelanggan’ dan kesannya mereka menganggap ‘rungutan’ ‘komplen’ sebagai tidak munasabah, maka tidak perlu dilakukan apa-apa untuk membetulkan keadaan.

Jika sekarang, penyakit ini dinamakan ‘denial syndrom’. Penyakit yang sekian lama dihidapi pemerintah sekarang. Justeru, penyelesaian menghapuskan bintik buta perlu berjalan dua belah pihak. Pemimpin dan mereka yang dipimpin.

PENUTUP

Tulisan kali ini hanya teori yang diserap daripada pengalaman Victor S.L Tan, mungkin dilihat tidak berapa jejak kerana tidak dikaitkan terus dengan realiti. Tapi tujuannya sememangnya hanya untuk berkongsi teori yang dirasakan perlu dijejakkan ke dalam realiti sebenar. Kerana menyedari betapa banyaknya bintik-bintik buta yang perlu dihapuskan dalam masyarakat Sabah tercinta ini.

Bait Membakut
6.00 Petang

Tinta Saya,



Powered by Blogger.

Followers

My Devotion Is My Passion

Nzlaa86 Production's